Isteri ekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

PUTRAJAYA – Rakaman keterangan tambahan saksi dalam rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan sehingga rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rakaman keterangan tambahan berkenaan yang sebelum ini ditetapkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli, bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan itu selepas dimaklumkan kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan pagi tadi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, Rosmah tidak membantah permohonan penangguhan tersebut selepas perbincangan antara pihak pendakwaan dan pembelaan.

Peguam Rosmah, Datuk Amer Hamzah Arshad mengesahkan perkara itu dan berkata pihak pendakwaan memberi jaminan untuk mempercepatkan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

“Jadi saya fikir demi kepentingan semua pihak, kami bersetuju supaya rayuan di Mahkamah Persekutuan dipercepatkan, diselesaikan dan diputuskan,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan hari ini untuk merekodkan keterangan lanjut daripada saksi pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Rosmah mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan Mahkamah Tinggi merekodkan keterangan tambahan Rayyan dalam tempoh dua minggu selepas pengurusan kes yang diadakan pada 10 September.

Rosmah sebelum ini mendapat kebenaran untuk mengemukakan bukti baharu terdiri daripada laporan polis, akuan berkanun yang dibuat Rayyan serta dokumen sokongan.

Pembelaan mendakwa bahan berkenaan menunjukkan Rayyan dikenakan tekanan oleh pihak pendakwaan ketika perbicaraan dan keterangannya terhadap Rosmah terjejas.

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Oktober ini untuk pengurusan kes. Kedua-dua pihak turut memaklumkan perkembangan terbaharu itu kepada Mahkamah Tinggi.

Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, disabitkan Mahkamah Tinggi pada 2 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek solar tersebut.

Rosmah turut didapati bersalah menerima RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016 serta RM1.5 juta lagi di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmahdengan tambahan 10 tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here