Ab Rauf ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencabar pelajar dari Melaka untuk merebut 600 biasiswa yang ditawarkan Petronas.

Beliau melahirkan kekesalan apabila hanya 14 pelajar dari Melaka yang layak memperoleh biasiswa daripada syarikat pengeluar minyak dan gas negara itu.

“Saya terkilan kerana dalam 600 biasiswa yang ditawarkan oleh Petronas, hanya 14 orang anak Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Powering Knowledge Stem Discovery@School 2026 di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 250 pelajar dari Melaka layak menerima biasiswa tawaran Petronas pada masa akan datang.

“Saya harap lepas ini orang Melaka dari Sungai Rambai hingga ke Kuala Linggi, seramai 250 anak-anak Melaka mendapat biasiswa Petronas untuk masa depan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf melahirkan kebanggaannya apabila semakin ramai pelajar Melaka memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita menyaksikan lonjakan ketara seramai 1,225 pelajar yang memilih pakej STEM sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhannya kepada 4,831 pelajar berbanding hanya 3,606 pelajar sebelumnya,” katanya.

Pada tahun ini sahaja, tambahnya, sebanyak 71 atau 92.2 peratus daripada 77 sekolah menengah kerajaan di Melaka, berjaya merealisasikan penawaran Pakej STEM. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here