Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 ketika di Wyndham Acmar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2026.

KLANG – Kecuaian dan kegagalan sebahagian pemaju melaksanakan tanggungjawab antara punca kerajaan Selangor terpaksa campur tangan menyelesaikan kemelut yang membelenggu sejumlah kawasan perumahan strata.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat pihak yang cuai, mengambil kesempatan atau cuba melepaskan diri daripada tanggungjawab sehingga akhirnya masalah berkenaan terpaksa ditanggung pemilik dan kerajaan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan sebahagian komuniti strata berdepan masalah besar yang tidak mudah diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Ada sebahagiannya yang cuai, sebahagiannya mengambil kesempatan dan sebahagiannya cuba melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab.

“Akhirnya pemilikan strata terpaksa menangani masalah yang besar dan kerajaan perlu membantu,” katanya di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan inisiatif program Spark kepada penerima pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 ketika di Wyndham Acmar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Selangor Tahun 2026.

Amirudin berkata, masalah berkenaan turut menjadi rumit apabila pemaju atau pemilik bertukar, menyebabkan rekod dan tanggungjawab perlu dikenal pasti semula sebelum sesuatu penyelesaian boleh dibuat.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh menyelesaikan semua perkara secara bersendirian kerana terdapat isu yang memerlukan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi.

“Kita tidak boleh pijak sendirian. Kita kena bergerak sebagai satu pasukan, sama ada di jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, LPHS atau pihak berkaitan.

“Kalau semua boleh duduk bersama, kita yakin penyelesaian dapat dibuat dengan lebih cepat,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan menyediakan peruntukan, data dan task force bagi membantu menyelesaikan masalah itu, namun komuniti strata juga perlu memainkan peranan.

“Kalau masyarakat atau komuniti sendiri tidak dapat membantu menangani masalah khususnya yang berlaku di kawasan mereka, usaha kerajaan juga tidak akan mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here