KUALA LUMPUR – Pengumuman ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), 15 September lalu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan, Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tidak kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, kesahan dan kesan Proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz hendaklan ditentukan menerusi proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah terutamanya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Tambahan pula katanya, Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana ia tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10 (1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz.
“Walaupun jelas Dato’Dato’ Undang mempunyai mengambil kuasa untuk mengambil Tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan tahta namun Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’ Dato’ Undang boleh membuat Keputusan sedemikian.
“Setakat hari ini, tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukan tersebut telah dipatuhi,” kata AGC dalam satu kenyataan, malam ini.
AGC menambah, terdapat isu berbangkit di mana ada dalam kalangan Datuk Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan oleh adat di luak masing-masing.
Justeru katanya, keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing.
“Oleh itu, sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material,” kata jabatan itu lagi. -MalaysiaGazette
















