KUALA LUMPUR – Dalam kehangatan politik negara dengan pelbagai isu, satu laporan media asing menyebut Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bersidang semula bagi membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Razak.
Laporan The Straits Times yang memetik sumber menyebut mesyuarat itu akan berlangsung esok, hanya seminggu selepas ia bersidang dan mengumumkan agenda membabitkan permohonan Najib ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Meskipun laporan tersebut masih belum disahkan namun perkara ini menarik perhatian ramai terutamanya penyokong Najib yang masih ‘kuat suaranya.’
Ini kerana sebarang keputusan mengenai permohonan pengampunan Najib mempunyai dimensi politik tersendiri kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam UMNO.
Manakala di peringkat Kerajaan Perpaduan pula, DAP dengan tegas menyatakan, bagi parti itu, pengampunan Najib adalah satu ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar.
Namun, ada juga pandangan bahawa DAP tidak mungkin memilih untuk meninggalkan Kerajaan Madani dalam keadaan semasa kerana boleh membawa implikasi terhadap kestabilan pentadbiran dan kedudukan parti itu sendiri.
Walau apa pun, sekiranya mesyuarat Lembaga Pengampunan benar-benar berlangsung esok, persoalan utama bukan sekadar sama ada pengampunan itu diterima atau ditolak, tetapi bentuk keputusan yang mungkin dipertimbangkan, termasuk pengampunan bersyarat, pengurangan hukuman atau kelonggaran tertentu terhadap baki hukuman.
Semalam, Menteri Wilayah, Hannah Yeoh semalam mendedahkan beliau telah memberikan pandangan dalam mesyuarat 11 September, sambil menegaskan kuasa dan keputusan akhir mengenai pengampunan terletak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Namun beliau tidak menyatakan sebarang petunjuk bilakah Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan bersidang semula bagi membincangkan permohonan Najib.
Sementara menantikan pengumuman rasmi, satu lagi persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan, apakah keputusan berhubung permohonan pengampunan Najib bakal mengubah suhu politi negara? Semakin reda atau menjadi lebih panas? -MalaysiaGazette
















