ISTANBUL – Angka kematian akibat banjir kilat dan aliran lumpur dahsyat bulan lepas di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,453 pada Khamis, dengan 6,664 hilang di kedua-dua belah pihak, lapor Anadolu Ajansi, memetik pihak berkuasa.
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata 1,410 orang meninggal dunia, dengan 13,756 diselamatkan di Nepal. Sebanyak 6,145 orang hilang termasuk 587 daripadanya warga asing.
Di China, jumlah kematian kekal 43 orang dengan 519 hilang, termasuk 261 warga asing di Tibet.
Bencana itu melanda pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung Nepal retak pada ketinggian 5,200 meter.
Keretakan itu mencetuskan runtuhan ais batu yang bertukar menjadi aliran serpihan mega dan menghentam lembah di sepanjang sempadan.
Banjir dan lumpur memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, serta Lembah Kathmandu, selain turut menimpa lintasan sempadan Gyirong di Xizang. – BERNAMA-ANADOLU
















