Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Proses persempadanan semula wajib dikaji dan dicadangkan oleh sebuah badan bebas seperti yang disyorkan dalam laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC).

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tanpa sebuah badan bebas yang merdeka daripada sebarang pengaruh atau campur tangan eksekutif, proses pemetaan semula sempadan itu dikhuatiri terdedah kepada manipulasi politik untuk memberi kelebihan tidak adil kepada pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Tambah beliau, di Semenanjung khususnya, isu ketidaksamaan saiz pengundi (malapportionment) menuntut reformasi struktur yang sebenar, bukannya pendekatan ad-hoc.

Jelasnya, ada beberapa kawasan yang terlalu besar sehingga berkali ganda berbanding kawasan lain, sekali gus keadaan itu perlu diperbetulkan.

“Tetapi rakyat berhak bersikap sangsi sama ada langkah persempadanan semula yang diutarakan oleh kerajaan PH ini benar-benar ikhlas demi memperbetulkan sistem demokrasi, atau sekadar tindakan tergesa-gesa oleh sebuah parti yang semakin terdesak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, beliau menyambut baik perbincangan mengenai persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya dan menyifatkannya isu yang penting dan perlu diselesaikan.

Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa kerajaan merujuk ERC, iaitu sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan pada 2018 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ujarnya, sebagai salah seorang ahli ERC ketika itu, beliau kesal apabila kajian mendalam serta syor-syor reformasi komprehensif yang dihasilkan oleh jawatankuasa tersebut seolah-olah diketepikan begitu sahaja.

Sedangkan, tambahnya, laporan itu seharusnya dibentangkan di Parlimen untuk menjadi input penting mana-mana perbincangan mengenai reformasi pilihan raya.

“Menjelang persidangan Dewan Rakyat tidak lama lagi, Laporan ERC perlu dibentangkan ke Parlimen, dan seterusnya sebuah badan bebas diwujudkan segera bagi memastikan integriti serta keadilan persempadanan semula yang akan dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here