Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Enam lelaki warga asing kini diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam kes samun RM2.91 juta di sebuah kondominium di Pavilion Embassy, Jalan Ampang, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya akan memohon notis merah melalui pihak Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membolehkan mereka didakwa di mahkamah.

“Kertas siasatan berhubung kes terbabit telah selesai dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September lalu.

“Bagaimanapun, enam suspek telah dituduh semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tanpa kehadiran tertuduh (in absentia) dan ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya telah membuat permohonan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh,” katamya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mahkamah kemudian telah menetapkan tarikh baharu pada 16 Oktober ini untuk sebutan permohonan waran tangkap tersebut.

Fadil berkata, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedudukan atau pergerakan suspek supaya segera menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 hingga 3 petang pada 7 September lalu, sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau dipercayai menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang.

Kumpulan itu melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan anggaran kerugian RM2.91 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa lelaki warga China berusia 28 tahun.

Polis sebelum ini turut merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here