BATU PAHAT – Prihatin dengan situasi jerebu ketika ini, Putra Specialist Hospital Batu Pahat (PSHBP) turun padang mengedarkan kira-kira 5,000 pelitup muka kepada orang ramai di bandar ini, hari ini.
Pengurus Besar Operasi PSHBP, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, menerusi inisiatif Prihatin Jerebu itu, pihaknya tampil memberikan fokus kepada tiga tindakan utama melibatkan pencegahan, kesedaran dan akses kepada rawatan untuk orang ramai di sini.
Katanya, sehubungan itu 5,000 pelitup muka diagihkan kepada masyarakat sekitar daerah ini termasuk di Batu Pahat Chinese Hawker Centre dan Pasar Pagi Jalan Ibrahim.
Jelasnya, pasukan perubatan PSHBP turut berada di lapangan bagi memberikan pemeriksaan kesihatan kepada individu yang mengalami simptom berkaitan saluran pernafasan, di samping menyampaikan nasihat kesihatan berkaitan jerebu.
“Sepanjang situasi jerebu yang melanda Batu Pahat ketika ini, kami sudah mengedarkan 5,000 keping pelitup muka kaepada komuniti, menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh Pegawai Perubatan PSHBP bagi simptom berkaitan pernafasan dan mengeluarkan Public Service Announcement (PSA) mengenai langkah perlindungan semasa jerebu.
“Kami turut memastikan perkhidmatan perubatan tersedia 24 jam bagi mereka yang memerlukan rawatan serta memberikan kesedaran mengenai tanda amaran yang memerlukan perhatian perubatan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Dr Mohammad berkata, sebagai langkah perlindungan diri semasa jerebu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka yang sesuai apabila keluar selain minum air secukupnya.
Ujarnya, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai asma, penyakit paru-paru atau jantung perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, sekiranya mengalami sesak nafas, nafas berbunyi, sakit dada, batuk berterusan atau simptom yang semakin teruk, dapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
“Ketika jerebu, hospital tidak seharusnya hanya menunggu pesakit datang. Kita perlu turun padang serta mahu masyarakat tahu bagaimana untuk melindungi diri, bila mereka perlu mendapatkan rawatan dan ke mana mereka boleh mendapatkan bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















