Gambar hiasan.

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pengurusan kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhubung siasatan penyelewengan pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan kes berkenaan telah selesai dan kertas siasatan dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan untuk mendapatkan izin pendakwaan.

Menurutnya, sekiranya kebenaran diperoleh, kedua-dua individu berkenaan dijangka didakwa pada minggu berikutnya.

“Jika seandainya berjalan lancar dan seandainya izin diperoleh daripada Peguam Negara, maka minggu selepas dari itu, akan dituduh.

“Tetapi ingin difahami di sini, pihak SPRM hanya mencadangkan berdasarkan hasil siasatan dan kami buat perakuan. Tetapi sama ada untuk menuduh ataupun sebaliknya adalah kuasa Peguam Negara,” katanya ketika sidang media pada Program Menembak SPRM Bersama Media di sini, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman

Bagi siasatan khusus membabitkan KLVC, seramai 30 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan, termasuk ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan FELDA dan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), penasihat undang-undang, juru nilai serta firma guaman.

SPRM sebelum ini menahan dua individu pada 6 September lalu bagi membantu siasatan berhubung projek berkenaan sebelum mereka direman dan kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Siasatan KLVC merupakan sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan FELDA dan FIC, termasuk enam kertas siasatan baharu serta satu siasatan lama.

Keseluruhannya, siasatan berkenaan memberi tumpuan terhadap pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA serta FIC bagi tempoh 2010 hingga 2020 yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Setakat 18 September lalu, seramai 34 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu keseluruhan siasatan, termasuk bekas ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FIC, pegawai pengurusan, wakil agensi kerajaan, penilai bebas serta pihak lain berkaitan transaksi terbabit.

Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, SPRM masih mengumpulkan dokumen bagi beberapa siasatan lain yang berada di luar negara, termasuk di United Kingdom dan Arab Saudi.

Katanya, proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui AGC akan digunakan bagi mendapatkan dokumen serta merakam keterangan saksi di negara berkenaan.

Antara transaksi yang sedang disiasat di bawah Op FELLA termasuk pelaburan Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, pengambilalihan Grand Borneo Hotel di Sabah; pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London; penubuhan FELDA Wellness Corporation; pengambilalihan FELDA House dan Grand FELDA House serta projek KLVC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here