JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mempersoalkan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan keputusan pengampunan Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persoalan moral dan etika.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, Hassan perlu berlaku adil dalam melontarkan pandangan dan bukan mengikut kepentingan politiknya.
Jelasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menerima pengampunan seperti Najib.
“Saya ingin mengingatkan Hassan bahawa Anwar Ibrahim juga merupakan seorang ‘convicted‘, pesalah jenayah dan tidak menjalani hukuman penuh. Sebagai seorang pesalah jenayah, beliau turut menerima manfaat hasil pengampunan daripada Lembaga Pengampunan pada 2018.
“Sistem kehakiman yang sama, Perlembagaan Persekutuan yang sama dan prinsip keluhuran undang-undang yang sama. Namun ia dinilai secara berbeza bergantung kepada siapa yang menerimanya.
“Ketekalan prinsip tidak boleh bergantung kepada keselesaan politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Azleen secara sinis mempersoalkan semula pendirian Hassan itu sama ada prinsip yang sama turut terpakai dalam kes Anwar.
“Persoalannya mudah, jika seseorang pesalah yang menerima ihsan dan belas kasihan Yang di-Pertuan Agong dianggap tidak beretika dan tidak bermoral, maka prinsip yang sama wajar terpakai kepada semua termasuk pengampunan yang diterima oleh Perdana Menteri ke-10 sendiri.
“Lebih-lebih lagi jenayah yang disabitkan ke atas Perdana Menteri ke-10 adalah jenayah songsang. Melainkan Hassan anggap jenayah songsang itu sebagai perbuatan yang bermoral dan beretika,” katanya.
Noor Azleen juga mempersoalkan sama ada Hassan berani membuat dakwaan yang sama terhadap Anwar atau sebenarnya prinsip tersebut terpakai untuk Najib sahaja.
“Sehingga Hassan berani mengaplikasikan piawaian moralnya secara saksama kepada pemimpin partinya sendiri, kenyataan beliau terhadap Najib hanya membuktikan satu perkara, ini bukan soal moral dan etika, tetapi semata-mata kepentingan politik berselindung di sebalik retorik prinsip.
“Ini bukan lagi soal prinsip – ini soal ‘ikut sedap tekak’,” dakwanya lagi.- MalaysiaGazette
















