Gambar hiasan.

ROMPIN – Gara-gara ponteng kuliah agama, dua pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama Bukit Ibam di sini, didakwa dipanggil ke sebuah bilik asrama sebelum dipukul lima pelajar senior.

Ketua Polis Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.01 tengah malam pada 12 September lalu, di bilik asrama lelaki sekolah berkenaan.

Menurutnya, salah seorang mangsa dikatakan ponteng kuliah agama, manakala seorang lagi didakwa bersubahat dengan mangsa pertama.

“Kedua-dua mereka kemudian dipanggil ke bilik berkenaan sebelum dipukul kesemua lima suspek terdiri daripada tiga pelajar Tingkatan Lima dan dua pelajar Tingkatan Empat.

“Akibat kejadian itu, mangsa pertama mengalami kecederaan pada kedua-dua lengan, manakala mangsa kedua cedera di bahagian badan.

“Kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Ibam pada 17 September lalu, masing-masing pada pukul 12.56 tengah hari dan 6.20 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Difahamkan, pihak sekolah terlebih dahulu memaklumkan kejadian tersebut kepada ibu bapa kedua-dua mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Menurut Sharif Shai, polis kemudian menahan kesemua lima pelajar yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Katanya, kesemua suspek bagaimanapun telah diberikan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here