Siti Rohani Yusof, 40, menunjukkan kecederaan dialami anaknya.

ROMPIN – “Mujur anak saya masih hidup.”

Itu luahan seorang ibu selepas mendakwa anak lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah agama di Bukit Ibam di sini, dipukul secara beramai-ramai sehingga menangis dan menjerit kesakitan dalam kejadian di asrama sekolah.

Lebih memilukan, Siti Rohani Yusof, 40, mendakwa anaknya bukan sahaja dipukul lima pelajar senior selama kira-kira dua jam, malah sekali lagi diserang menggunakan batang penyapu beberapa hari kemudian.

Menurut ibu berkenaan, kejadian pertama berlaku pada malam Khamis, kira-kira tengah malam hingga 2 pagi, apabila anaknya bersama seorang rakan dipanggil ke bilik asrama.

Katanya, kedua-dua mereka kemudian didakwa ditutup kepala sebelum dipukul secara beramai-ramai oleh lima pelajar.

Siti Rohani Yusof, 40, menunjukkan kecederaan dialami anaknya.

“Anak saya sampai menjerit-jerit dan menangis. Kawan dia pun sama. Anak saya dipukul kira-kira dua jam, manakala kawannya dua jam setengah.

“Selepas kejadian, anak saya tidak berani beritahu sesiapa. Kawan-kawan semua tahu tetapi tidak berani buka mulut kerana takut mereka juga akan dipukul,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Ibu tinggal itu berkata, anaknya hanya memberanikan diri menceritakan kejadian tersebut kepada warden dan guru pada Selasa berikutnya.

Menurutnya, anaknya turut merayu untuk tidur di rumah warden kerana takut kejadian sama berulang, namun permintaan itu didakwa tidak dipenuhi.

Lebih mengejutkan, dakwanya, anaknya sekali lagi dipukul pada malam Selasa oleh dua pelajar.

“Seorang pegang batang penyapu dan seorang lagi menendang anak saya,” dakwanya.

Ibu itu berkata, anaknya kemudian semakin takut selepas dikatakan menerima ugutan bahawa dia akan dipukul sekali lagi sebelum seorang pelajar yang didakwa sebagai ketua kumpulan itu dibuang sekolah.

Katanya, pada malam Rabu, anaknya akhirnya menghubungi bapanya dan menceritakan apa yang berlaku.

Bapanya kemudian menghubungi warden sebelum keluarga mengambil keputusan untuk datang ke sekolah pada keesokan harinya.

“Bila saya sampai sekolah, saya nampak lima budak yang pukul anak saya masih bebas ke sana sini, manakala anak saya pula masih berada di kelas.

“Saya kemudian berjumpa guru besar dan guru-guru warden dan minta lima pelajar itu dipanggil,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima pelajar yang dipanggil itu kemudian didakwa mengakui perbuatan masing-masing ketika disoal pihak keluarga dan sekolah.

Ibu itu mendakwa serangan dilakukan dengan pelbagai cara termasuk menendang, mencubit, menggunakan batang penyapu dan membuat ugutan menggunakan pisau atau kaca.

Malah, katanya, seorang daripada pelajar berkenaan didakwa menepuk dada anaknya sehingga menyebabkan kecederaan dan pendarahan.

“Anak saya ditutup kepala ketika mereka buat semua itu.

“Saya cuma terfikir, kalau benda ini berlaku lebih lama, apa akan jadi kepada anak saya? Mujur anak saya masih hidup,” katanya.

Sebelum ini, polis menerima dua laporan berhubung kejadian berkenaan pada 17 September lalu dan menahan lima pelajar lelaki yang terdiri daripada tiga pelajar Tingkatan Lima serta dua pelajar Tingkatan Empat.

Berdasarkan maklumat polis, kejadian awal dipercayai berpunca selepas salah seorang mangsa ponteng kuliah agama, manakala seorang lagi didakwa bersubahat dengannya.

Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Kesemua lima suspek telah diberikan jaminan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here