KUANTAN – “Dulu kita buat tabung untuk selamatkan negara, yang itu kena tanya UMNO-lah.”
Demikian reaksi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh ketika ditanya mengenai inisiatif UMNO mengumpul RM50 juta bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda yang dikenakan terhadapnya.
Fuziah berkata, usaha mengumpul dana berkenaan merupakan urusan dan hak UMNO, sambil mengaitkannya dengan Tabung Harapan yang pernah diwujudkan Pakatan Harapan (PH).
“Dulu kita (PH) buat tabung (Tabung Harapan) untuk selamatkan negara, yang itu (tabung Najib) kena tanya UMNO lah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Madani Kita (PMK) di Dewan Serbaguna Sungai Isap Damai di sini, hari ini.
Fuziah diminta mengulas mengenai pelancaran tabung khas UMNO bagi mengumpul sumbangan untuk membantu Najib membayar denda RM50 juta.
Semalam, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara bagi sabitan kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan iaitu pembayaran denda RM50 juta.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Susulan keputusan itu, UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berkenaan.
Fuziah dalam pada itu menegaskan PH tidak mempunyai kaitan dengan usaha kutipan dana berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada UMNO.
Difahamkan sehingga jam 9.30 pagi, Tabung Solidariti Najib Razak sudah mencecah RM1,000,000. – MalaysiaGazette
















