Pengunjung tidak melepaskan peluang bermain jet ski secara percuma sempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 di Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Jika kebiasaannya orang ramai perlu mengeluarkan belanja lebih RM100 untuk merasai pengalaman menaiki jet ski, pengunjung Pesta Pantai Tanjung Bidara kali ini berpeluang menikmati aktiviti itu secara percuma.

Tawaran berkenaan menjadi antara tarikan utama pesta itu apabila ratusan pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba sendiri aktiviti sukan air berkenaan.

Seorang pengunjung, Muhammad Solehin Ghazali, 28, berkata, dia tidak berfikir panjang untuk mencuba jet ski selepas mengetahui aktiviti itu disediakan tanpa sebarang bayaran.

Muhammad Solehin Ghazali

“Saya dimaklumkan kalau kita nak naik jet ski, bayarannya RM100 ke atas.

“Apabila dapat tahu boleh naik secara percuma, memang saya tidak lepaskan peluang untuk menaikinya,” katanya.

Dia ditemui ketika menghadiri Pesta Pantai Tanjung Bidara sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Bagi Nur Shahira Nor Rashid, 27, peluang itu lebih bermakna kerana dia sudah lama menyimpan hasrat untuk mencuba aktiviti jet ski.

Nur Shahira Nor Rashid

Suri rumah itu berkata, dia tidak menyangka hasrat berkenaan akhirnya tercapai tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran.

“Sudah lama nak merasa naik jet ski dan tidak sangka dapat menaikinya secara percuma di Pesta Pantai Tanjung Bidara ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Muhamad Shahrul Shafik Dol Ramli, 29, turut teruja dapat merasai pengalaman berkenaan.

Menurutnya, peluang menaiki jet ski secara percuma bukan sesuatu yang mudah diperoleh di tempat lain.

Muhamad Shahrul Shafik Dol Ramli

“Saya rasa amat seronok hari ini kerana berpeluang menaiki jet ski secara percuma yang jarang berlaku di tempat lain,” katanya.

Aktiviti jet ski itu menjadi antara tarikan Pesta Pantai Tanjung Bidara yang berlangsung sempena program WRUR DUN Tanjung Bidara.

Selain aktiviti pantai dan sukan air, pesta berkenaan turut menjadi tumpuan pengunjung serta memberi peluang kepada peniaga kecil memasarkan makanan, minuman, kraftangan dan produk tempatan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here