Yuneswaran melawat salah satu reruai selepas merasmikan Program TKSP 2026 di Dataran Yayasan Segamat, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersedia meneliti cadangan supaya sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir-gilir di setiap negeri pada masa hadapan.

Timbalan menterinya, Yuneswaran Ramaraj berkata, cadangan itu merupakan satu saranan yang baik dan wajar dipertimbangkan bagi memperluas penghayatan rakyat terhadap sambutan berkenaan.

“Saya rasa itu adalah saranan yang baik, bagus juga kalau kita buat negeri ke negeri tetapi saya rasa kementerian akan meneliti cadangan itu dan bagaimana kita hendak melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan (TKSP) 2026 anjuran KPN di Dataran Yayasan Segamat di sini hari ini.

Katanya, penganjuran sambutan di Sabah dan Sarawak juga mempunyai signifikan tersendiri memandangkan kedua-dua wilayah berkenaan memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia.

“Kalau buat di Sabah dan Sarawak, ia lebih signifikan sebenarnya kerana penyatuan Malaysia dan kewujudan Malaysia ini adalah daripada Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya.

Yuneswaran berkata, kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan serta cadangan yang membina dalam usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Sebarang cadangan berkaitan pelaksanaan sambutan berkenaan akan diteliti dengan mengambil kira kesesuaian serta objektif sambutan Hari Malaysia, katanya.

Baru-baru ini, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan diadakan secara bergilir-gilir di setiap negeri pada masa hadapan.

Pendekatan itu, menurut beliau, penting bagi membolehkan sambutan Hari Malaysia dihayati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di setiap negeri.

Beliau turut menyarankan sejarah dan latar belakang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diketengahkan sebagai pengisian utama sambutan bagi memberikan kefahaman lebih menyeluruh mengenai sejarah pembentukan Malaysia.

Pendekatan berkenaan diyakini dapat menjadi wadah memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah negara serta memupuk semangat perpaduan nasional tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah. – MalaysiaGazette

Caption gambar: Yuneswaran melawat booth selepas merasmikan Program TKSP 2026 di Dataran Yayasan Segamat, Segamat, hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here