Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Mohd Hairi Mad Shah menafikan dakwaan Tabung Solidariti Najib Razak adalah ‘jarum halus’ UMNO untuk menghalalkan rasuah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, UMNO tidak memaksa sesiapapun untuk menderma dan usaha tersebut adalah lebih kepada satu solidariti untuk bekas Perdana Menteri tersebut yang banyak berjasa kepada negara.

“Kalau kita lihat dulu Tabung Harapan pun ada juga (diwujudkan). Bagi saya, siapa sahaja yang nak menderma (boleh derma) dan ini menunjukkan satu solidariti kepada Datuk Seri Najib yang mana semua telah pun melihat dari segi pembawakan beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

“Siapa sahaja tak kiralah usahawan ke, persendirian individu ke untuk memberi sokongan dengan RM50 juta itu, saya rasa satu jumlah yang besar. Jadi kalau mana-mana pihak yang sudi menghulurkan, saya rasa kita terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Anugerah Belia Cemerlang JCI 2026 di Hotel Sharaton di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Junior Chamber International (JCI), Senator Vincent Leng.

Terdahulu Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean mendakwa Tabung Solidariti Najib Razak adalah ‘jarum halus’ UMNO untuk menghalalkan rasuah.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada UMNO sedang melazimkan budaya bahawa rasuah boleh dimaafkan apabila melibatkan pemimpin yang disokong.

“Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong,” soalnya.

Jumaat lalu, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi mengumpul RM50 juta untuk membantu bekas Presiden UMNO itu melunaskan denda yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat diterimanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, pihak berkenaan yang membangkitkan dakwaan tersebut tidak perlu double standard dalam isu tersebut.

Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor itu , Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat pengampunan seperti Najib.

“Perdana Menteri yang ada pada hari ini pun dibebaskan oleh pengampunan Yang di-Pertuan Agong juga. Jadi mana mungkin kuasa Perlembagaan melebihi apa yang diberikan oleh titah Agong.

“Saya rasa tidak mana tidak mana-mana pihak yang boleh mengatasi perkenan Tuanku. Perdana Menteri hari ini pun dibebaskan ketika beliau dalam penjara dan dibebaskan sebenarnya,” katanya.

Najib pula katanya, tidak dibebaskan sebaliknya hanya diberikan penahanan di rumah, malah masih tidak diketahui bila bekas Perdana Menteri itu boleh keluar dan menjalani perintah tersebut kerana jumlah RM50 juta itu sangat besar.

“Saya rasa mana-mana pihak tidak boleh memberikan pandangan-pandangan yang teruklah kepada Datuk Seri Najib kerana baik buruk dia pernah banyak berjasa kepada negaralah.

“Sebab tu saya kadang-kadang nak juga lontarkan kepada rakyat, bagi saya 10 perkara yang terbaik Perdana Menteri buat hari ini apa yang membanggakan?

“Saya rasa tak ada pun. Berbanding Perdana Menteri-Perdana Menteri kita (yang lain) ada trademark, building dan sebagainya, tapi hari ini kita tak nampak. Apa 10 perkara tu,” soalnya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here