Khaled menyampaikan hadiah dalam Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Kerajaan akan berpandukan kepada keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung sebarang cadangan penghantaran pasukan pengaman ke Yaman yang  bergolak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dilaksanakan bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya berdasarkan keadaan di negara berkenaan kerana  aspek keselamatan perlu diberikan keutamaan.

“Keadaan di Yaman ketika ini berbeza dengan situasi pasukan pengaman Malaysia yang dihantar ke Lubnan iaitu bertujuan memastikan syarat-syarat perdamaian dipatuhi semua pihak.

“Yaman ni sebuah negara yang kita ada hubungan diplomatik dan satu lagi kawasan Yaman diduduki oleh kumpulan Houthi (pemberontak). Kumpulan Houthi sedang berkonflik dengan Saudi,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.

Katanya, apabila negara yang terbabit dengan konflik sudah berdamai dan PBB bersetuju untuk menghantar pasukan pengaman selepas syarat-syarat perdamaian dihormati semua pihak, perkara berkenaan akan dipertimbangkan.

Namun katanya, situasi di Yaman ketika ini sedang berperang dan amat berisiko untuk menghantar pasukan pengaman.

Terbaharu Konflik di Yaman semakin memuncak apabila tentera pemerintah melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di sepanjang pantai Laut Merah, sedang kumpulan yang disokong Iran itu terus menyerang negara jiran Arab Saudi.

Anggota Houthi Yaman yang menyokong Iran kini meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi dan mengancam untuk memburukkan lagi gangguan bekalan tenaga global.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here