Khaled menerima cenderamata dalam Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak tahu apa mesej yang ingin disampaikan Anthony Loke Siew Fook apabila menawar untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perkara tersebut terserah kepada Setiausaha Agung DAP itu dan soal perletakan jawatan mana-mana menteri adalah keputusan Perdana Menteri.

Jelasnya, mana-mana menteri boleh meletakkan jawatan atau menawarkan diri untuk meletak jawatan, namun akhirnya tindakan itu hanya akan diputuskan Perdana Menteri.

“Saya pun tidak tahu, dia (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook) nak letak jawatan ke, nak tawarkan diri letak jawatan ke, pada akhirnya keputusan kepada Perdana Menteri, itu saja.

“Bagi UMNO, itu hal dialah, nak letak jawatan ke, dia nak panjat pokok ke, hal dia lah,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.

Khaled mengulas keputusan kenyataan Anthony semalam yang menawarkan perletakan jawatan beliau sebagai anggota jemaah menteri, susulan keputusan pengampunan bersyarat diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, soal pengampunan bersyarat diterima Najib, itu kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu dipertikaikan walaupun tidak suka dengan keputusan terbabit.

“Soal DAP terserah pada dia,  apa mesej dia nak beri. Ada yang nak letak jawatan, itu terserah. Nak suka atau tak suka keputusan (pengampunan bersyarat), itu soal lain, tetapi jangan pertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here