PARIS – Beban hutang Perancis terus melonjak dan dijangka mencecah paras tertinggi sejak 1978 tahun ini berikutan defisit yang semakin tinggi, menurut Kementerian Kewangan negara ini.
Sumber kementerian memberitahu, hutang awam Perancis dijangka mencapai 119.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan 121.7 peratus pada 2027.
Angka itu lebih dua kali ganda berbanding had rujukan 60 peratus daripada KDNK yang ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) untuk negara anggotanya.
Menurut Institut Perangkaan Perancis (Insee), angka berkenaan merupakan paras yang belum pernah dicatat sejak 1978.
Sumber kementerian itu menambah, peningkatan hutang Perancis berlaku secara “automatik” sebagai “kesan daripada defisit yang kekal tinggi”.
Perancis kini merupakan negara ketiga paling banyak berhutang dalam zon euro selepas Greece dan Itali.
Di Sepanyol, hutang awam turun di bawah 100 peratus daripada KDNK pada Julai lalu, manakala Portugal berjaya menurunkan nisbah hutangnya di bawah 90 peratus pada 2025.
Mengikut peraturan EU, defisit awam iaitu kekurangan hasil berbanding perbelanjaan tahunan sepatutnya tidak melebihi tiga peratus daripada KDNK.
Namun, defisit Perancis tahun lalu mencapai 5.1 peratus daripada KDNK dan kerajaan menjangkakan ia meningkat kepada 5.4 peratus tahun ini.
Perancis yang berada di bawah pemantauan khas EU sejak dua tahun lalu susulan angka defisit yang tinggi, menjangkakan defisit itu turun kepada lima peratus tahun depan, ketika negara berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih presiden dan kerajaan baharu.
Kerajaan turut mengemukakan langkah-langkah dalam draf Belanjawan 2027 kepada badan pemantau fiskal bebas, Majlis Tinggi Kewangan Awam (HCFP), bagi menilai daya maju langkah berkenaan dari sudut makroekonomi.
Perdana Menteri, Sebastian Lecornu ketika membentangkan draf belanjawan pada Khamis lalu berkata, kerajaan merancang pelarasan dan pemotongan bernilai 54 bilion euro (RM sekitar 300 bilion) dalam Belanjawan 2027.
Namun, dengan pilihan raya semakin hampir, beliau menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan beberapa langkah yang lebih sensitif, termasuk cadangan kerajaan mengurangkan pelepasan cukai untuk pesara.
Ketua Jawatankuasa Kewangan Parlimen, Eric Coquerel daripada parti berhaluan kiri France Unbowed (LFI), sebelum ini membantah dengan alasan pemotongan belanjawan akan memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat secara tidak seimbang dan paling menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Ketua HCFP, Amelie de Montchalin berkata, masih terdapat masa untuk memperbetulkan hala tuju.
“Perancis tidak ditakdirkan untuk gagal, dengan syarat keputusan yang dibuat adalah pantas dan bertanggungjawab,” katanya dalam wawancara dengan akhbar Le Parisien.
Unjuran pertumbuhan ekonomi Perancis bagi 2026 baru-baru ini turut disemak turun susulan perbelanjaan pengguna yang lemah dan peningkatan harga tenaga, yang lebih ketara berikutan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran. – Agensi
















