Imran Mohd Idris (kiri) dan Aswad serta komuniti nelayan darat Semerah melepaskan benih udang galah di Jeti Selulun, Sungai Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Kira-kira 50,000 benih udang galah dilepaskan di Jeti Selulun di sini hari ini, sebagai usaha untuk meningkatkan jumlahnya di Sungai Batu Pahat.

Pembantu Perikanan Daerah Batu Pahat, Imran Mohd Idris berkata, usaha itu berikutan penurunan ketara hasil udang galah di sungai tersebut yang dilaporkan komuniti nelayan darat kebelakangan ini.

“Penurunan hasil tangkapan memberi kesan terhadap pendapatan sebahagian nelayan yang bergantung dengan sumber hidupan di sungai tersebut.

“Pemilihan Jeti Selulun yang berada di kawasan sempadan berhampiran Semerah dipilih kerana keadaan dan kualiti airnya sesuai bagi pelepasan serta kelangsungan hidup benih udang galah.

“Pelepasan udang galah ini diharap bukan sekadar menjadi hasil sungai, tetapi membantu mengembalikan sumber rezeki nelayan darat yang semakin berkurangan selain memelihara kelestarian sumber perikanan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pelepasan benih udang galah itu adalah menerusi inisiatif Perikanan Daerah Batu Pahat bersama-sama komuniti nelayan darat Semerah dan kawasan sekitarnya.

Pihaknya juga berharap inisiatif itu akan membantu memastikan sumber pendapatan komuniti nelayan dapat diteruskan untuk jangka panjang.

Sementara itu, wakil komuniti nelayan darat Semerah, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang dilaksanakan oleh pihak Perikanan Daerah Batu Pahat tersebut.

Ujarnya, walaupun menunggu masa yang agak lama untuk udang galah membesar, tindakan itu akan memberikan impak besar kepada keseluruhan nelayan di situ, khususnya pendapatan harian mereka.

“Bagaimanapun, kerjasama untuk sama-sama menjaga kualiti air sungai di Batu Pahat ini amat diharapkan agar usaha yang dilakukan ini pada akhirnya membuahkan hasil kepada semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here