JOHOR BAHRU – Bekas pemain badminton negara, Myisha Mohd Khairul mengharumkan nama negara apabila membuat kemunculan semula dan menang dalam World Airlines Badminton Championships (WABC) 2026 baru-baru ini.
Myisha, 23, yang membantu Malaysia Airlines (MAS) meraih kejuaraan beregu campuran bergandingan dengan Shahir Anwar Shahir Zubairi, 26, menewaskan pasangan dari Singapura Airlines dalam aksi final WABC 2026 yang berlangsung sengit di Bangkok, Thailand.
Bagi Mysha, kejayaan berkenaan menjadi kemunculan bermakna dalam arena badminton dengan membawa cabaran berbeza bersama-sama MAS, sekali gus meneruskan kecintaan terhadap sukan yang pernah menjadi sebahagian besar perjalanan kerjayanya.
“Selepas lebih kurang empat tahun tinggalkan badminton, saya rasa sangat puas sebab saya sebenarnya rindu nak sertai perlawanan di peringkat dunia seperti dahulu. Selepas bekerja di Malaysia Airlines, saya dilamar untuk bermain dan mewakili Malaysia Airlines dan tanpa berfikir saya terus terima.
“Terima kasih Malaysia Airlines, kerana memberi peluang kepada saya dan tidak lupa juga ibu ayah, rakan sepasukan , saya yang turut memberi sokongan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Shahir Anwar berkata, kejayaan tersebut lebih bermakna buatnya kerana pernah menyaksikan datuknya mewakili MAS dan sering muncul juara dalam kejohanan badminton sebelum tahun 2000.
“Saya bangga kerana dapat meneruskan legasi keluarga dan sangat bersyukur dapat menjuarai kejohanan ini pada penyertaan pertama saya.
“Terima kasih kepada Malaysia Airlines, pasukan, pasangan serta tidak dilupakan keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Menerusi perlawanan itu, pasangan tersebut yang tampil mewakili MAS tidak diberi laluan mudah untuk menang dalam WABC 2026.
Gandingan MAS itu pada mulanya tewas 12-15 pada set pertama sebelum bangkit memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 15-10.
Momentum kemenangan diteruskan pada set penentuan apabila Mysha dan Shahir tampil lebih agresif, sekali gus mengawal permainan untuk menang 15-7 dan dinobatkan sebagai juara.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasangan MAS menampilkan kebangkitan cukup bertenaga selepas ketinggalan pada awal perlawanan, selain memperlihatkan keserasian dan ketenangan mereka dalam mengharungi tekanan aksi final.
Myisha yang pernah membawa cabaran negara dalam arena badminton, menggunakan pengalaman kompetitifnya untuk membantu gandingan MAS mengatur permainan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Digandingkan dengan Shahir Anwar, kedua-dua wakil MAS itu tampil konsisten sepanjang kejohanan sebelum melangkah ke perlawanan akhir dan menamatkan saingan dengan keputusan membanggakan.
WABC 2026 yang berlangsung di Bangkok dari 16 hingga 19 September menghimpunkan wakil daripada 18 syarikat penerbangan dari pelbagai negara bagi merebut kejuaraan badminton dalam kalangan warga industri penerbangan.
Kejayaan Mysha dan Shahir Anwar turut mengangkat nama MAS di pentas antarabangsa, membuktikan warga syarikat penerbangan negara itu mampu bersaing dalam bidang sukan selain tugasan profesional.- MalaysiaGazette
















