MELAKA – Kerajaan negeri Melaka hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Kem Sungai Udang di sini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan bagi melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan di dalam kem berkenaan.
Katanya, ia meliputi pembangunan dari segi fizikal, kerohanian dan kebajikan warga kem itu..
“Kita memperuntukkan RM250,000 untuk pembangunan yang meliputi semua aspek di dalam kem ini, insya Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang hari ini
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Dalam ucapannya juga, Ab Rauf mengumumkan peruntukan tambahan khas sebanyak RM80,000 yang disalurkan segera pada hari ini.
“Kita bukan bagi esok, kita bukan bagi lusa, kita bagi hari ini juga. Jadi gunakanlah sebaik mungkin,” ujarnya..
Peruntukan khas itu jelasnya, bagi kegunaan sebarang kegunaan dan keperluan pengurusan kem berkenaan bagi kebajikan warganya.
“Sempena kita datang ini macam orang datang nak meminang anak daralah, kalau datang meminang tak bawa tepak sireh jadi tak tahu apa tujuan nak datang rumah sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Ab Rauf meluangkan masa hampir tiga jam bermula jam 10 pagi menyantuni warga kem berkenaan pada hari keluarga tersebut hari ini.
Antara aktiviti yang diadakan pada hari keluarga itu termasuk sukaneka, pertandingan menembak, gusti lengan dan tarik tali. – MalaysiaGazzette
















