Datuk Seri Shahniza turun menjala sendiri sempena Pesta Menjala 2.0 Kuala Wau dan teruja bersama hasil tangkapannya di Estet Ikan Kampung Kuala Wah di Maran hari ini.

MARAN – Lebih 1,500 peserta dari seluruh negara membanjiri Kampung Kuala Wau sempena Pesta Menjala 2.0 hari ini, sekali gus membuka peluang kepada penduduk tempatan meraih limpahan ekonomi daripada sektor makanan, penginapan hingga produk kampung.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, penganjuran festival itu membuktikan aktiviti berasaskan warisan dan alam semula jadi boleh dijadikan pemangkin ekonomi komuniti.

“Pesta ini bukan hanya tentang menjala ikan. Kita mahu apabila orang datang ke Kuala Wau, mereka turut menikmati makanan, menggunakan penginapan penduduk, membeli produk kampung dan mengenali kehidupan masyarakat di sini.

“Jadi, manfaat festival ini bukan hanya kepada peserta pertandingan, tetapi turut dirasai peniaga dan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pesta Menjala 2.0 Estet Ikan Kuala Wau 2026 di sini, hari ini.

Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

Ujarnya, pihak penganjur melihat kehadiran peserta dan keluarga dari luar Pahang bukan sekadar merancakkan pertandingan menjala, tetapi turut berpotensi menghidupkan aktiviti ekonomi setempat apabila pengunjung bermalam, makan dan berbelanja di Kuala Wau.

Menurut Shahaniza, pada masa sama, festival berkenaan penting dalam memperkenalkan generasi muda kepada khazanah ikan air tawar dan kepentingan memelihara sumber berkenaan.

“Kalau generasi hari ini tidak mengenali dan menghargainya, kita bimbang warisan serta spesies ikan tempatan semakin dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais berkata, sebanyak 1.83 juta benih ikan telah dilepaskan ke Estet Ikan Kuala Wau sejak 2022.

Katanya, stok ikan di estet berkenaan kini dianggarkan antara 40 hingga 50 tan, membabitkan spesies seperti tengalan, patin, baung, lampan dan sebarau.

“Pesta Menjala 2.0 bukan sekadar pertandingan, tetapi usaha mengangkat kembali seni menjala sebagai warisan masyarakat tempatan selain membuka ruang kepada komuniti menjana pendapatan,” katanya.

Pesta bertemakan ‘Menjala Warisan, Menjana Ekonomi’ itu merupakan penganjuran kali kedua selepas program sulung pada 2021 dan dianjurkan JPKK Kuala Wau dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Maran serta Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Bagi memastikan limpahan ekonomi dirasai penduduk, pelbagai ruang turut dibuka kepada usahawan tempatan termasuk jualan makanan dan minuman, penginapan serta inap desa, kraftangan, produk kampung, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan.

Peserta dari luar kawasan turut digalakkan hadir lebih awal dengan tapak perkhemahan disediakan pada kadar berpatutan.

Pertandingan itu pula menawarkan cabaran mendapatkan ikan terberat, selain kategori khas ‘Ikan Rahsia’ yang akan dilepaskan ketika pertandingan bermula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here