SHAH ALAM – Laporan awal pasukan petugas khas berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), khususnya mengenai legasi permasalahan yang diwarisi agensi itu, dijangka didedahkan pada minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan itu penting bagi menjelaskan masalah yang berlaku di FELDA, termasuk persoalan berkaitan kerugian dan pengurusan agensi berkenaan.
“Minggu depan, mula laporan awal tentang FELDA. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, petang ini.
Jelasnya, masalah tata kelola FELDA perlu ditangani kerana setiap tahun kerajaan terpaksa menyediakan ratusan juta bagi menampung kerugian agensi berkenaan.
“Saya bertanggungjawab soal FELDA. Tiap-tiap tahun kita bayar RM980 juta untuk tampung kerugian,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan, tiada campur tangan daripadanya sebagai Perdana Menteri dalam proses menentukan individu yang perlu disiasat, didakwa atau dihukum.
“Apa kita boleh lepaskan? Tidak boleh. Saya tidak akan menentukan siapa yang akan disiasat, siapa yang didakwa, dihukum. Ini prinsip undang-undang.
“Amanah ini saya harus pikul. Jalan saya mesti laju, saya pegang amanah saya, saya tidak banyak masa,” tambah beliau.
Sebelum ini, jawatankuasa khas mengenai Felda dilaporkan berkata akan mengemukakan laporan interim mengenai penambahbaikan yang disyorkan bagi badan berkanun itu kepada Perdana Menteri menjelang akhir bulan ini.
Jabatan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa yang dianggotai beberapa penasihat dasar utama kerajaan itu ditubuhkan pada Jun tahun lalu bagi mengkaji pelan strategik Felda 2025-2030.
Dalam kenyataan, jabatan itu berkata, jawatankuasa berkenaan telah mengadakan enam pertemuan dengan pihak berkaitan sepanjang tahun lalu, termasuk pengurusan FELDA bagi meneliti beberapa perkara.
Antaranya termasuk penyahsenaraian FGV Holdings Bhd serta kelemahan tadbir urus dalam perolehan atau pelaburan membabitkan lapan aset yang dibangkitkan dalam kertas putih yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada April 2019. – MalaysiaGazette
















