Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Datuk Karim Bujang yang meninggal dunia hari ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menerima khabar duka berhubung pemergian Karim dan mendoakan seluruh keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan.

“Semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan, serta semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau di tempat terbaik di sisi-Nya. Al-Fatihah,” kata Anwar.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Tun Musa juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.

“Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai seorang daripada Pembantu Menteri dalam pentadbiran kerajaan yang saya ketuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang komited, tekun melaksanakan amanah dan sentiasa memberikan khidmat terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Karim, 73, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, Sabah dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis kira-kira 5.30 petang hari ini, selepas disembahyangkan di Masjid Imam Abdullah di kampung halamannya.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013, meninggalkan seorang isteri Datin Maimun Pg Bagul, dua anak lelaki serta tiga cucu. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here