KUALA LUMPUR – Kemelut tawaran peletakan jawatan Setiausaha Agung (DAP), Anthony Loke menjadikan kerajaan hilang kredibiliti dan semangat perpaduan serta dilihat tidak lagi berkeupayaan untuk terus mentadbir negara.
Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia dan Ummah (Suara Rakyat), Mohd. Zai Mustafa berkata, tindakan Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan, jelas membuktikan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini tidak sehaluan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, jalan paling bermaruah dan berdemokratik adalah dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara.
“Jika mereka sendiri tidak sehaluan, bagaimana mereka mahu menyatukan rakyat? Biarlah rakyat yang menentukan semula masa depan negara melalui peti undi, bukannya melalui perebutan kuasa di dalam bilik mesyuarat Kabinet,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media semalam bahawa Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohd. Zai selanjutnya menyatakan, Suara Rakyat memandang serius tindakan Anthony Loke yang menawarkan diri untuk meletak jawatan sambil menyifatkan ia sebagai tanda protes terang-terangan terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan kuasa mutlak Agong dan tidak boleh dijadikan isu politik yang boleh diprotes oleh anggota Kabinet.
“Apa yang berlaku hari ini terbukti dengan jelas bahawa Kerajaan MADANI sedang berdepan dengan keadaan yang sangat tidak stabil.
“Ketidakstabilan ini berpunca daripada perbezaan pendirian yang sangat ketara dan asas antara parti-parti di dalam Kerajaan MADANI itu sendiri,” ujarnya
Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Hishamuddin Abu Bakar mendakwa, tindakan Anthony Loke yang tidak berpuas hati dengan tahanan rumah terhadap Najib menunjukkan bahawa beliau menyanggah perkenan Agong.
Dakwa beliau, jika DAP bermaruah, semua pemimpin parti sepatutnya meletak jawatan, bukan Setiausaha Agungnya sahaja.
Hishamuddin turut mendakwa, Anthony tidak menyatakan beliau `ingin meletak jawatan’, sebaliknya menawarkan diri untuk berbuat demikian.
“Dia menawarkan diri, kalau selepas dipujuk dia boleh sahaja membuat pusingan `U’. Sekarang, kita lihat DAP banyak buat `U-turn’,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















