KUALA LUMPUR – Institusi asing di Bursa Malaysia menamatkan trend jualan bersih selama enam minggu berturut-turut apabila merekodkan aliran masuk bersih berjumlah RM127 juta pada minggu lalu.
Aliran masuk itu direkodkan dalam minggu dagangan yang lebih singkat apabila pasaran ditutup pada Rabu sempena sambutan Hari Malaysia.
MBSB Research berkata, institusi asing menjadi pembeli bersih pada tiga daripada empat hari dagangan, dengan aliran masuk terbesar dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM56.5 juta, diikuti Isnin RM50.6 juta dan Khamis RM37.3 juta.
Sebaliknya, aliran keluar bersih hanya direkodkan pada Selasa, berjumlah RM17.5 juta.
Mengikut sektor, tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perladangan sebanyak RM131.1 juta, utiliti (RM84.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM84 juta).
Sementara itu, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM309.7 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian (RM125.2 juta) dan hartanah (RM4.8 juta).
Manakala pelabur institusi tempatan pula melanjutkan trend jualan bersih kepada dua minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM368 juta.
Pelabur runcit pula meneruskan trend belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM241 juta, tambah firma penyelidikan tersebut.
Dari segi purata jumlah dagangan harian (ADTV), peningkatan dicatatkan bagi institusi tempatan dan asing, masing-masing sebanyak 10.6 peratus dan 41.3 peratus.
Bagaimanapun, ADTV pelabur runcit susut 7.7 peratus. – MalaysiaGazette
















