Mohd Fairuz Mohd Isa

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Suhaimizan Bizar dan ADUN Serting Mohd Fairuz Mohd Isa antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang mengesahkan menerima surat pemakluman mengenai pembatalan lantikan jawatan Exco.

Suhaimizan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak  Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, beliau menerima pemakluman berkenaan semalam.

“Ya, saya terima surat semalam, tapi saya tidak boleh ulas lanjut buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Turut memberi respons yang sama Fairuz selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan itu memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Azizi berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here