Gambar hiasan.

KAJANG – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan bayaran denda RM50 juta yang perlu dibayar oleh Datuk Seri Najib Razak masih belum dilunaskan.

Menurut beliau, bayaran itu perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Kuala Lumpur.

“Setakat ini, keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Bayaran perlu dilangsaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes bermula dan dibicarakan di sana.

“Saya tidak boleh jangka secara tepat bila Datuk Seri Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau lagi, prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah bekas pemimpin itu perlu akan dilaksanakan ole Jabatan Penjara Malaysia.

Dalam pada itu, sumber lain memaklumkan proses tahanan rumah ke atas Najib tidak dilaksanakan hari ini.

“Bukan hari ini,” jelas sumber secara ringkas.

Sebahagian petugas media berkumpul untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bakal menjalani baki hukuman tahanan penjara di rumah, di Penjara Kajang. Foto SADIQ SANI, 21 SEPTEMBER 2026.

Tinjauan MalaysiaGazette di Penjara Kajang pagi ini mendapati  beberapa pengamal media ‘berkampung’ di perkarangan pintu masuk penjara itu.

Suasana tenang sahaja dan tiada kelibat penyokong-penyokong Najib berada di sini.

Setakat jam 3 petang tadi, tiada sebarang tanda-tanda pergerakan keluar bekas Ahli Parlimen Pekan itu dari penjara berkenaan.

Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati hanya pergerakan logistik keluar dan masuk ke penjara ini.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Ujarnya, Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here