Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bercakap pada sidang media di Lobi Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berhubung tawaran peletakan jawatan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, manakala anggota Kabinet parti lain kekal dalam kerajaan, adalah muktamad dan perlu dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, CEC sudah mengadakan perbincangan panjang dan mendengar pelbagai pandangan ketika mesyuarat sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Hannah yang juga Timbalan Setiausaha DAP berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan dalaman CEC.

“CEC telah bermesyuarat lama dan pelbagai cadangan telah diberikan dan pendapat kita telah dengar, dan keputusan akhir iaitu keputusan muktamad CEC, ini merupakan keputusan di peringkat tertinggi dan telah membuat keputusan bahawa Anthony Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

“Perbincangan lain saya tak nak dedahkan kerana itu adalah dalam perbincangan CEC, tetapi kita kena hormati keputusan yang CEC telah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Bazar Deepavali di sini, hari ini, ketika ditanya sama ada beliau akan mengikuti jejak Loke untuk meletakkan jawatan susulan keputusan Lembaga Pengampunan.

Sementara itu, Hannah berkata persoalan berkaitan isu berkenaan boleh dibangkitkan apabila Dewan Rakyat kembali bersidang.

“Dewan Rakyat akan bermula, semua soalan akan masuk dalam persidangan,” katanya.

Terdahulu, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat CEC DAP selama hampir tiga jam pada Sabtu lalu.

Loke berkata peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here