Gambar hiasan

BARUBARU ini satu tinjauan mengenai pengalaman rakyat Malaysia terhadap insurans perubatan mendedahkan semakin ramai pemegang polisi mempersoalkan sama ada perlindungan yang dibayar setiap bulan benar-benar setimpal dengan kos yang ditanggung.

Dapatan itu menunjukkan antara kebimbangan utama rakyat ialah kenaikan premium, tuntutan yang ditolak atau dipertikai, kos rawatan yang masih perlu dibayar sendiri serta perubahan perlindungan yang boleh menjejaskan akses kepada hospital dan doktor pilihan.

Malah 34.6 peratus responden mengakui mereka tidak lagi merasakan pelan insurans sedia ada berbaloi untuk diteruskan, dengan premium yang tinggi dan ketidakmampuan menanggung kenaikan seterusnya menjadi antara sebab utama.

Lebih membimbangkan, 64.7 peratus responden berkata mereka masih perlu mengeluarkan wang sendiri bagi bil hospital terbaru walaupun mempunyai perlindungan insurans perubatan.

Dalam pada itu, 71 peratus responden turut melaporkan mereka perlu membayar tambahan untuk ubat kerana tidak semua kos berkenaan dilindungi polisi.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pemegang polisi benar benar memahami had perlindungan yang dibeli atau hanya menyedarinya apabila mereka sudah berada di hospital dan memerlukan rawatan.

Isu tuntutan turut menjadi perhatian apabila hampir 30 peratus responden berkata tuntutan mereka pernah ditolak sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 24 peratus mendakwa alasan penolakan yang diberikan kepada mereka tidak jelas, sekali gus boleh menambahkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemegang polisi yang mengharapkan proses tuntutan lebih telus.

Namun, persoalan yang lebih besar ialah apabila keputusan berkaitan rawatan mula dipengaruhi oleh syarat perlindungan dan kelulusan syarikat insurans.

Kajian itu mendapati hampir 70 peratus responden berkata mereka berdepan sekatan terhadap rawatan yang diperlukan, manakala hampir separuh daripada mereka mendakwa sekatan berkenaan dikenakan tanpa persetujuan doktor.

Situasi itu wajar diberi perhatian kerana keputusan mengenai keperluan klinikal seseorang pesakit sepatutnya dibuat berdasarkan keadaan kesihatan dan penilaian doktor yang merawat, bukan semata mata berdasarkan pertimbangan kos.

Dalam masa sama, 31.7 peratus responden berkata mereka tidak lagi boleh mendapatkan rawatan daripada doktor biasa selepas hospital pilihan mereka dikeluarkan daripada panel, menunjukkan perubahan rangkaian panel boleh memberi kesan langsung kepada pengalaman pesakit.

Masalah turut timbul ketika pesakit menunggu Guarantee Letter (GL) apabila lebih separuh responden dilaporkan menunggu sekurang kurangnya tiga hari bekerja untuk mendapatkan pengesahan perlindungan, manakala 23.1 peratus menunggu lebih lima hari.

Bagi pesakit yang memerlukan rawatan segera, tempoh menunggu sedemikian bukan sekadar soal pentadbiran kerana kelewatan mendapatkan pengesahan perlindungan boleh menambahkan tekanan kepada pesakit dan keluarga.

Lebih 340,000 polisi insurans perubatan dan takaful pula dilaporkan dibatalkan atau diserah balik antara Januari 2024 hingga Jun 2025, satu perkembangan yang menunjukkan kemampuan rakyat untuk mengekalkan perlindungan kesihatan swasta semakin menjadi persoalan.

Angka itu tidak bermakna semua pemegang polisi mempunyai pengalaman yang sama, namun ia cukup untuk menunjukkan wujud tekanan yang perlu diberi perhatian oleh pihak industri dan pengawal selia.

Hakikatnya, rakyat membeli insurans perubatan bukan sekadar untuk memiliki kad perubatan, tetapi untuk mendapatkan kepastian bahawa mereka boleh menerima rawatan apabila diperlukan tanpa berdepan kejutan kos atau pertikaian perlindungan.

Jika premium terus meningkat sedangkan pemegang polisi masih perlu membayar kos tambahan, berdepan tuntutan yang dipertikai dan sekatan terhadap rawatan, kepercayaan terhadap perlindungan insurans perubatan boleh terus terhakis.

Persoalan akhirnya bukan lagi sekadar berapa mahal premium yang perlu dibayar rakyat, tetapi apakah yang sebenarnya mereka dapat apabila tiba masa untuk menggunakan perlindungan tersebut.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here