Ab Rauf menyampaikan hadiah kepada penerima pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam ini.

MELAKA – Sebanyak 2,092 program utama anjuran kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sepanjang 2025 hingga September 2026 merekodkan lebih enam juta kehadiran ke Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus membuktikan Melaka semakin menjadi tumpuan pelancongan dan penganjuran acara berskala besar.

Jumlah itu merangkumi pelbagai program termasuk acara pelancongan, sukan, kebudayaan, sambutan berskala kebangsaan serta program turun padang yang dilaksanakan di seluruh negeri.

Pencapaian itu turut diperkukuh kejayaan Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia tahun lalu yang menghimpunkan 155 delegasi serta lebih 40,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

“Daripada sambutan berskala kebangsaan, program pelancongan, acara sukan dan kebudayaan sehinggalah program turun padang yang menyelami denyut nadi masyarakat dan secara keseluruhannya telah merekodkan lebih enam juta kehadiran secara kumulatif.

“Semua ini membawa satu mesej yang cukup jelas, Melaka hari ini bukan sahaja menjadi destinasi yang mahu dikunjungi tetapi semakin menjadi titik pertemuan negara dan dunia.

“Apabila acara besar memilih Melaka, kepimpinan tertinggi negara hadir ke Melaka dan delegasi dunia berhimpun di Melaka, ini bukan kebetulan sebaliknya inilah reputasi yang kita bina bersama,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 penjawat awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Ab Rauf berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam ini.

Bagaimanapun Ab Rauf berkata, kejayaan menarik jutaan pengunjung serta menganjurkan pelbagai program tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah kehadiran sebaliknya turut bergantung kepada mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerana akhirnya, rakyat tidak menilai kerajaan daripada slogan yang kita laungkan tetapi daripada layanan yang mereka terima dan masalah yang kita selesaikan,” katanya.

Ketua Menteri dalam ucapannya turut menggariskan tiga pesanan penting kepada penjawat awam iaitu menjaga integriti, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dengan bijak serta menjadikan Melaka Sayang Rakyat sebagai jiwa perkhidmatan.

“Penjawat awam perlu memahami bahawa jawatan bukan keistimewaan sebaliknya amanah yang perlu dijaga bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam tidak terjejas.

“Kalau amanah rakyat kita pegang, kepercayaan rakyat jangan sesekali kita gadaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kadar kepuasan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam negeri turut meningkat kepada 93.6 peratus pada Fasa 1 2026 berbanding 87.82 peratus tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu menjadi antara ukuran sebenar kepada pelaksanaan konsep Melaka Sayang Rakyat, yang menurutnya perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan dan penyelesaian masalah rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here