Oleh: Akmal Adanan
BAYANGKAN seorang pelancong yang terbang beribu-ribu kilometer ke Malaysia untuk menikmati pemandangan bandar, pantai, alam semula jadi dan kepelbagaian budaya negara.
Namun, sebaik tiba, langit bertukar kelabu. Aktiviti luar terpaksa dikurangkan, jarak penglihatan merosot dan sebahagian rancangan perjalanan tidak lagi sesuai dilaksanakan.
Semuanya berlaku akibat jerebu.
Bagi pelancong, keadaan itu mungkin sekadar perubahan rancangan. Namun, bagi industri pelancongan, kesannya boleh menjadi lebih besar.
Pelancong yang terpaksa membatalkan tempahan menyebabkan pengurangan perbelanjaan dan kehilangan pendapatan kepada hotel, restoran, pengangkutan, pemandu pelancong, pengusaha tarikan serta peniaga kecil.
Jerebu bukan sekadar isu alam sekitar dan kesihatan awam. Ia juga boleh menjadi gangguan kepada aktiviti dan pendapatan sektor pelancongan.
Persoalannya, bagi pelancong antarabangsa yang sudah berada di Malaysia, bagaimana industri boleh memastikan perjalanan mereka tidak terjejas sepenuhnya apabila keadaan berubah?
Pelancongan perlu lebih dinamik
Ancaman jerebu berisiko menjejaskan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Kajian empirikal krisis terdahulu oleh Economy and Environment Program for Southeast Asia (EEPSEA) membuktikan pencemaran udara mampu menguncupkan ketibaan pelancong sehingga 8%, mencetuskan kerugian terus sektor melebihi RM300 juta, serta menyumbang kepada kerugian KDNK negara mencecah RM1.5 bilion.
Berikutan itu, tindakan lebih kreatif perlu diambil segera. Salah satu langkah yang boleh diberi perhatian ialah menukar destinasi secara dinamik atau dynamic rerouting.
Jerebu tidak semestinya menjejaskan semua kawasan pada tahap yang sama.
Apabila sesuatu destinasi mengalami keadaan udara yang kurang sesuai untuk aktiviti luar, pelancong boleh diberikan pilihan untuk mengubah sebahagian perjalanan mereka kepada kawasan lain yang lebih sesuai, berdasarkan maklumat kualiti udara semasa dan nasihat pihak berkuasa.
Jika sesuatu kawasan di Pantai Barat Semenanjung terjejas, misalnya, pelancong boleh ditawarkan pengalaman alternatif di destinasi lain yang keadaan udaranya lebih baik, tertakluk kepada keadaan semasa.
Bagi pelancong antarabangsa, pendekatan ini penting kerana mereka sudah mengeluarkan kos penerbangan, penginapan dan perbelanjaan perjalanan.
Bagi pelancong domestik pula, ia boleh mengelakkan pembatalan keseluruhan percutian hanya kerana satu lokasi tidak lagi sesuai dikunjungi.
Perlu sedia pelan alternatif
Bagaimanapun, pilihan untuk menukar destinasi akibat jerebu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa selepas pelancong membuat aduan.
Industri perlu mempunyai pelan alternatif sebelum gangguan berlaku.
Sebagai contoh, hotel boleh menyediakan senarai aktiviti dalam bangunan dan pakej alternatif. Agensi pelancongan pula boleh menyediakan jadual perjalanan yang fleksibel bagi membolehkan aktiviti luar digantikan dengan pengalaman budaya, gastronomi atau rekreasi dalam bangunan.
Malaysia mempunyai kepelbagaian produk budaya, makanan dan warisan yang boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti luar.
Antaranya, lawatan ke muzium, galeri, pusat sains, taman tema tertutup, pusat beli-belah, persembahan kebudayaan, bengkel kraf dan kelas masakan boleh dijadikan sebahagian daripada pakej alternatif.
Lebih menarik, pelancong boleh menyertai bengkel membuat batik atau kelas masakan tradisional.
Selain mengisi masa ketika aktiviti luar terjejas, pengalaman ini memberi peluang kepada mereka mempelajari secara langsung seni, budaya dan makanan tempatan Malaysia.
Maklumat tepat bantu selamatkan percutian
Dalam keadaan krisis, komunikasi sama pentingnya dengan produk.
Agensi berkaitan perlu sentiasa mengemaskini kawasan mana yang terjejas, aktiviti yang perlu dielakkan dan apakah pilihan yang tersedia.
Jika maklumat hanya menyebut bahawa Malaysia dilanda jerebu, pelancong mungkin menganggap seluruh negara berada dalam keadaan sama.
Sebaliknya, maklumat mengikut kawasan boleh membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat.
Di sinilah teknologi dan data boleh memainkan peranan.
Perkembangan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dalam industri pelancongan membolehkan syarikat menganalisis data pelanggan, mengenal pasti corak permintaan, mengurus harga dan inventori serta memberikan cadangan perjalanan yang lebih diperibadikan.
Dalam konteks jerebu, pendekatan berasaskan data boleh membantu industri mengenal pasti perubahan permintaan dan menawarkan alternatif berdasarkan keadaan destinasi.
Berikan pilihan kepada pelancong
Pelancong antarabangsa yang sudah tiba tidak sepatutnya hanya diberitahu aktiviti tertentu dibatalkan.
Pelancong domestik yang sudah membuat tempahan juga tidak sepatutnya hanya menerima berita bahawa rancangan mereka terjejas.
Dalam menghadapi cabaran jerebu, kemampanan sektor pelancongan bukan sekadar bergantung pada kemampuan menarik pelancong, tetapi terletak pada keupayaan memberikan pengalaman dan nilai ekonomi walaupun gangguan berlaku.
Kita mungkin tidak mampu mengawal jerebu atau memastikan langit sentiasa biru. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap pelancong menerima layanan mesra sepanjang berada di Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Cawangan Melaka.
















