Tangkap layar video klip tular kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Kolej Universiti Widad, Kuantan.

KUANTAN – Seorang wanita nyaris maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Kolej Universiti Widad, Indera Mahkota, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.40 pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, sebuah lori dipandu lelaki berusia 24 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Indera Mahkota menuju ke Pasar Borong Kemunting, manakala motosikal ditunggang seorang wanita berusia 19 tahun dari arah Jalan Pintasan Kuantan menuju ke Indera Mahkota.

Ashari berkata, akibat kemalangan itu, wanita terbabit mengalami kecederaan ringan pada bahagian bahu dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk menerima rawatan.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan dan membantu siasatan.

Sebelum itu tular di media sosial satu klip video rakaman kejadian memaparkan sebuah lori tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah dan merempuh sebuah motosikal yang baru bergerak di persimpangan itu.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan secara terperinci punca dan keadaan yang membawa kepada kemalangan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai makluymat atau rakaman berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here