Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka petang ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut sumber, pengumuman itu dijangka dibuat dalam sidang media sekitar jam 3 petang selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada jam 12 tengah hari dan Mesyuarat Post-Exco pada jam 2 petang.

Sumber turut memaklumkan surat pembubaran DUN telah ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai pengumuman pembubaran tersebut.

Perkembangan itu semakin menguatkan petunjuk bahawa DUN Melaka bakal dibubarkan selepas mesyuarat Exco yang lazimnya berlangsung pada Rabu dipercepatkan kepada Selasa, hari ini.

Sumber berkata, surat jemputan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk hadir di Seri Negeri pada jam 2.30 petang ini juga sudah dibuat sejak malam tadi.

“Surat kepada semua 21 ADUN BN sudah diedarkan malam tadi.

“Pejabat Ketua Menteri pula dijangka akan mengedarkan surat jemputan kepada media tengah hari ini sebagai persediaan menghadiri sidang media oleh Ab Rauf petang nanti,” katanya.

Sumber berkata, perubahan jadual Mesyuarat Exco daripada Rabu kepada Selasa dilihat juga dilihat sebagai antara petanda luar biasa yang menguatkan lagi pembubaran DUN berkuat kuasa esok.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 27 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here