KUALA LUMPUR – Usaha Pintas Utama Sdn. Bhd. yang menyumbang hampir 30,000 beg kasut kepada jemaah Muassasah di seluruh negara pada musim haji lalu menerima penghargaan Sahabat Haji Tabung Haji (TH).
Sumbangan menerusi Program Sahabat Haji TH itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan syarikat berkenaan dalam membantu menyediakan keperluan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Marhalim Mohamed berkata, sumbangan itu amat bermakna buat pihaknya meskipun nilainya sederhana.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, beg kasut jenis tali cerut itu disumbangkan bagi memudahkan jemaah membawa barangan keperluan selain meningkatkan keselesaan dan mobiliti mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurutnya, agihan dilaksanakan secara berperingkat ketika Kursus Perdana Haji peringkat negeri.
Usaha Pintas Utama itu mendapat pengiktirafan TH apabila menerima penghargaan Sahabat Haji TH pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Haji TH Musim Haji 1447H/2026M di Menara TH Tun Razak, semalam.
Penghargaan berkenaan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menurutnya, penglibatan Pintas Utama dalam menyantuni jemaah haji Malaysia bermula sejak 2023. – MalaysiaGazette
















