KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau tidak hadir menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak dititah untuk mengadap oleh Tuanku Mukhriz pada pertemuan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional, beliau hanya mengetahui pertemuan tersebut hanya menerusi laporan media sahaja.
“Saya tidak ada (mesyuarat), saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk mengadap dan kami hanya tahu dari media sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian University Research and Innovation Investment Summit 2026 (URIIS 2026) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas hasil pertemuan tersebut di Istana Negeri Sembilan selepas Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz selama hampir satu jam malam tadi.
Anwar sebelum itu terlebih dahulu memasuki perkarangan istana pada jam 6.00 petang.
Pada Ahad malam, Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua ahli Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata menurut Perkara 38 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail menerusi satu kenyataan berkata, mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, serta tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Ismail menegaskan, beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
Mengulas kemelut tersebut , Ahmad Zahid memberitahu, beliau mengambil pendirian sama seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail sebelum ini.
“Saya menyerahkan yang menjadi soal polemik ini sebagai mana jawapan yang diberikan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Masalah negeri harus diselesaikan secara baik di Negeri Sembilan dan pada hemat saya soal intepertasi dalam perundangan dan juga soal kuasa ianya bukan hanya tafsiran perundangan dan ia harus juga dihormati institusi dan juga establishment yang juga ada juga di negeri sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















