M. Kumar pada sidang media mengenai Op Pedo 3.0 yang dijalankan di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Lapan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun antara 53 individu yang ditahan dalam operasi khas bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Op Pedo 3.0 di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi yang dijalankan dari 14 hingga 16 September lalu itu menemui 653,193 fail digital mengandungi bahan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan terdiri daripada 51 lelaki dan dua perempuan berusia antara 13 hingga 56 tahun, termasuk dua penjawat awam daripada institusi pendidikan iaitu seorang guru dan seorang pembantu makmal.

Turut dirampas 95 barang kes terdiri daripada telefon bimbit, komputer, komputer riba, tablet, peranti storan, router/modem dan alat mainan seks.

Antara barangan yang dirampas dalam Op Pedo yang dijalankan di seluruh negara.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati ada antara kanak-kanak terbabit bukan sahaja memuat turun bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan bahan berbentuk animasi sendiri sebelum menjualnya dalam komuniti dalam talian.

“Dalam kalangan mereka, ada yang menghasilkan animasi sendiri dan menjualnya kepada komuniti yang mempunyai kecenderungan sama.

“Namun, kanak-kanak terbabit tidak mengenali antara satu sama lain secara peribadi kerana interaksi berlaku dalam talian,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

M. Kumar berkata, sebanyak 52 kertas siasatan dibuka, dengan 23 daripadanya telah dituduh di mahkamah sehingga 21 September lalu, manakala 29 lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta beberapa akta berkaitan.

Beliau turut menyeru ibu bapa meningkatkan pemantauan terhadap penggunaan media sosial anak-anak, selain menegaskan usaha membendung jenayah berkaitan CSAM memerlukan kerjasama berterusan semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here