GEORGE TOWN – Ikan yang didakwa menyerupai piranha di Empangan Klau, Raub, Pahang akan diteliti menerusi analisis asid deoksiribonukleik (DNA) atau DNA persekitaran (eDNA) bagi menentukan sama ada spesies berkenaan benar-benar piranha atau pacu.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Aquaworks dan Aquaria KLCC dalam usaha mengenal pasti ikan berkenaan.
Beliau berkata, Aquaria KLCC mempunyai spesimen hidup piranha selain maklumat DNA spesies berkenaan yang boleh dijadikan rujukan bagi membantu proses pengecaman.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak Aquaworks dan juga Aquaria untuk mengenal pasti piranha yang ada di Empangan Klau itu melalui sama ada eDNA ataupun DNA sendiri.
“Sama ada ia piranha ataupun pacu kita nak buat pengesahan sebab kita tak ada spesimen fizikal,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Marine Education Centre di Angsana Teluk Bahang di sini, hari ini.

Adnan berkata, analisis awal yang dibuat bersama Institut Penyelidikan Perikanan berdasarkan rakaman video yang diperoleh daripada seorang nelayan darat mendapati ciri morfologi ikan berkenaan lebih menghampiri piranha.
Bagaimanapun, katanya, pengesahan tidak dapat dilakukan berikutan ikan terbabit telah dibuang selepas ditangkap.
“Spesimen ini sepatutnya disimpan dan diserahkan kepada kita untuk kita tengok ciri fizikal. Kita nak tengok morfologinya, sisiknya, giginya dan rupa bentuknya untuk sahkan sama ada ia piranha atau tidak,” katanya.
Sehubungan itu, Adnan berkata, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah menghubungi nelayan darat di kawasan Empangan Klau supaya menyimpan dan menyerahkan kepada jabatan sekiranya mereka menemui atau menangkap ikan yang menyerupai piranha.
“Spesimen fizikal itu penting bagi membolehkan pihak kami membuat pengesahan secara rasmi berdasarkan genus (kumpulan) dan spesies ikan berkenaan.
“Sebab itu kita telah mengadakan perbincangan dengan nelayan-nelayan di sana supaya apabila menemui spesies ini jangan buang dan simpan dan serahkan secara rasmi kepada Jabatan Perikanan untuk kita tentu sahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata sekiranya ikan berkenaan benar-benar piranha, spesies yang berasal dari Sungai Amazon di Brazil itu secara teorinya boleh beradaptasi dalam ekosistem air tawar Malaysia.
Katanya, keadaan iklim di habitat asal piranha hampir sama dengan Malaysia, sekali gus membolehkan spesies itu berpotensi hidup dan membiak dalam ekosistem tempatan.
“Secara umumnya dia boleh membiak dalam ekosistem kita sebab cuaca kita hampir sama dengan iklim asal di tempat mereka.
“Malah ada juga ikan-ikan yang berasal daripada Amazon seperti Arapaima gigas, alligator gar yang boleh survive dalam ekosistem kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















