Na'im Brundage

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage gagal di Mahkamah Tinggi untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan pihak berkuasa menyekat dua akaun TikTok miliknya, tiga tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Norliza Othman membenarkan bantahan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta empat yang lain terhadap permohonan Na’im.

Mahkamah berpuas hati, keputusan menyekat akaun berkenaan dibuat oleh TikTok dan bukannya MCMC.

“Mereka hanya memulakan tindakan pentadbiran dengan memaklumkan TikTok mengenai pelanggaran garis panduan komuniti oleh Na’im, yang kemudiannya membawa kepada tindakan TikTok menyekatnya,” kata beliau.

Selain MCMC, turut dinamakan sebagai pemohon dalam bantahan awal berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Fahmi Fadzil) dan Kerajaan Malaysia.

Dua yang lain ialah Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dan Pengerusi MCMC (tidak dinamakan).

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Norliza berkata, surat Na’im bertarikh 23 Mac 2024 kepada responden menunjukkan beliau sedar akaunnya telah disekat dan cuba mendapatkan penjelasan daripada aplikasi itu, namun tiada jawapan.

Katanya, Na’im selaku pemohon mengesyaki tindakan itu telah dipengaruhi atau dikuatkuasakan secara langsung oleh responden.

Namun ujar hakim, keputusan pentadbiran berkenaan bukan suatu keputusan yang terdedah kepada semakan kehakiman oleh mahkamah.

“Permohonan semakan kehakiman yang difailkan pemohon atas andaian bahawa MCMC sebagai responden ketiga telah mengarahkan TikTok untuk mengharamkan atau menapis akaun pemohon, tidak boleh berjaya dalam semakan kehakiman.

“Sudah tentu TikTok yang telah menapis dan menyekat akaun pemohon, bukan responden,” katanya.

Menurut Hakim Norliza, responden ketiga hanya menjalankan tindakan pentadbiran dengan mengeluarkan surat kepada TikTok.

Katanya, tindakan berkenaan tidak terdedah kepada semakan kehakiman kerana ia bukan suatu keputusan yang lazimnya menjadi asas bagi permohonan kebenaran di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada prosiding itu, Na’im diwakili peguam Latheefa Koya, tiga pihak berkenaan dihadiri peguam, A. Ruebankumar manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin bagi pihak menteri dan kerajaan.

Na’im yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Malaysia memfailkan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 selepas mendapati dua akaun TikTok miliknya telah disekat.

Dalam permohonan itu, Na’im mahu mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan menyekat kedua-dua akaun tersebut.

Berdasarkan afidavit sokongan, beliau berkata, dua akaun media sosial berkenaan merupakan medium untuk meluahkan pandangan serta pendapatnya mengenai isu semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here