Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) bersama barisan Exco semasa sidang media pembubaran DUN Melaka hari ini.

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Seri Negeri di sini petang ini.

Ab Rauf berkata, pembubaran DUN itu dilakukan selepas surat pembubaran DUN ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka berhubung dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri Melaka dan seterusnya memohon perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Sukacita saya maklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenan bagi Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok bersamaan 23 September 2026 yakni hari Rabu,” katanya pada Sidang Media Khas di Seri Negeri hari ini.

Menurut Ab Rauf, proklamasi pembubaran DUN diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Rudy Rohan Johan hari ini.

“Dengan pembubaran ini, maka berakhirlah penggal Dewan Undangan Negeri Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

DUN Melaka dijadualkan terbubar secara automatik pada 27 Disember ini jika tidak dibubarkan lebih awal.

Pada PRN Melaka pada 2021, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dengan DAP memperoleh empat kerusi manakala Amanah satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi dua kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here