KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa akan memaklumkan kepada Majlis Raja-Raja bahawa pendirian kerajaan ketika ini adalah untuk terus menyokong Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berdasarkan keadaan semasa.
Perkara itu didakwa antara intipati pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan, petang semalam, yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara, Datuk Seri Mohd Dusuki Mokhtar.
Sumber tertinggi yang mengetahui mengenai pertemuan itu mendedahkan perkara berkenaan kepada MalaysiaGazette, selain berkongsi beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuan hampir sejam tersebut.
“Kerajaan akan memaklumkan kepada Majlis Raja-Raja bahawa kerajaan kekal menyokong Tuanku Muhriz berdasarkan keadaan semasa,” dakwanya.
Menurut sumber, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), Tuanku Muhriz mempunyai kuasa untuk menamatkan atau membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco.
Bagaimanapun, katanya, kuasa tersebut tidak terpakai dalam perkara membabitkan kedudukan Menteri Besar.
“Tuanku Muhriz mempunyai hak berdasarkan UUTKNS untuk menamatkan atau membatalkan pelantikan Exco tetapi bukan Menteri Besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, sumber berkenaan turut mendedahkan tindakan membabitkan kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri juga tidak mendapat persetujuan KSN dan Peguam Negara.
Menurutnya, sebarang tindakan terhadap pegawai kanan dalam struktur perkhidmatan awam negeri perlu dibuat menerusi saluran dan prosedur yang ditetapkan, termasuk melalui KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
“Perkara seperti ini perlu melalui saluran yang betul, termasuk KSN dan KPPA,” katanya.
Sumber berkata, perkara itu perlu dilihat dari sudut tatakelola perkhidmatan awam serta peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan dibuat mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, walaupun semalam terdapat laporan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dijangka turut mengadap Tuanku Muhriz, Ahmad Zahid hari ini menjelaskan beliau dan Ismail tidak pernah dititah untuk mengadap.
Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Ismail hanya mengetahui mengenai pertemuan tersebut menerusi laporan media.
“Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk mengadap dan kami tahu hanya daripada media,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pertemuan Anwar dengan Tuanku Muhriz berlangsung hampir sejam di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, petang semalam.
Perdana Menteri tiba di istana kira-kira jam 6 petang sebelum meninggalkan perkarangan berkenaan sekitar 6.57 petang.
Pertemuan itu berlaku ketika kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa baharu susulan keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua ahli MMKN berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, keputusan itu dibuat selepas baginda mendapati kesemua ahli MMKN terbabit telah memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Kemelut berkenaan sebelum ini turut menyaksikan pertikaian mengenai bidang kuasa dan kesahan beberapa tindakan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz, termasuk isu proklamasi bertarikh 19 April lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara sebelum ini turut menyatakan bahawa Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Perkembangan itu menjadikan pertemuan Perdana Menteri bersama Tuanku Muhriz semalam antara perkembangan penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















