Lilis (kanan) dan Pandak (tengah) melancarkan Majlis Perasmian ZTPP Peringkat Negeri Johor di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri,hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Program Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) akan diperluaskan ke seluruh Johor tahun depan dalam usaha memperkukuh dan membudayakan pematuhan dalam sektor pelancongan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, program ZTPP merupakan inisiatif untuk mewujudkan persekitaran perdagangan yang telus, berintegriti, selamat dan kondusif di lokasi pelancongan utama.

“Ini termasuk memelihara kepentingan serta meningkatkan keyakinan pengguna dan pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap amalan perdagangan yang beretika dan bertanggungjawab.

“Pelaksanaan program ini akan menjamin hak-hak pengguna termasuklah pelancongan domestik dan antarabangsa khususnya ketika mereka berbelanja di lokasi tarikan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Perasmian ZTPP Peringkat Negeri Johor di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu di sini hari ini.

ZTPP Peringkat Negeri Johor di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu itu merupakan lokasi pertama program berkenaan di negeri ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Mengulas lanjut, Lilis berkata, inisiatif ZTPP bakal menaikkan lagi imej sektor pelancongan bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh negara.

Menurut beliau, pelaksanaannya akan membolehkan keadilan kepada kedua-dua pihak pengusaha dan pembeli melibatkan produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan.

Contohnya, kata beliau, paparan tanda harga yang jelas memberi peluang kepada pengguna dan pelancong untuk membuat pilihan yang berdaya saing, selain mengelakkan isu ketidakpuasan hati atau aduan manipulasi harga.

Lilis (dua kanan) berkata, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh Johor mulai tahun depan
Lilis (dua kanan) berkata, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh Johor mulai tahun depan

“Peniaga dan pengusaha premis di bawah zon yang diwartakan ini diberikan papan tanda harga khas daripada KPDN yang tahan lasak dan sesuai digunakan di pelbagai lokasi.

“Pendekatan kita berteraskan prinsip keadilan. Kita memberi ruang advokasi secukupnya terlebih dahulu kepada peniaga sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil, supaya pihak industri tidak melihat KPDN sekadar agensi yang menghukum,” katanya.

Jelasnya, program ZTPP merupakan kesinambungan pendekatan Program Pasar Patuh yang dilaksana di pasar-pasar awam seluruh negeri.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga akan memberikan nilai tambah kepada kehadiran pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026.

“Pada masa kita galakkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, kita turut menjaga kebajikan mereka sekalipun meningkatkan lagi imej positif industri dan pemain pelancongan tempatan.

“Pengguna bukan sahaja dapat membandingkan harga produk dan perkhidmatan ditawarkan, tetapi dapat membuat keputusan perbelanjaan terbaik sekali gus mengelakkan sebarang tuntutan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pandak yang juga Pengerusi Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu melibatkan produk dan perkhidmatan ditawarkan sektor eko pelancongan di kawasan tersebut.

“Program ini akan menyokong pertumbuhan pelancongan tempatan, mereka yang mengunjungi kawasan ini tidak perlu berasa bimbang dengan harga-harga produk di sini. Saya yakin usaha ini akan bantu naikkan lagi sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Beliau yakin seramai 20,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara akan datang ke eko pelancongan tersebut.

Keyakinan itu berdasarkan jumlah kedatangan pelancong sehingga bulan ini berjumlah 18,000 sekali gus melepasi sasaran 15,000 pelancong dalam tahun ini.

Tambah beliau, kebanyakan pelancong yang datang adalah dari Singapura, Korea, Jepun dan Eropah.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here