KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini dijadual mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut semakan laman web kehakiman, permohonan bekas Perdana Menteri itu akan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Ia dikemukakan selepas sembilan bulan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menyampaikan keputusannya pada 26 Disember tahun lalu.
Ketika keputusan diumumkan, beliau selaku hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1MDB, merekodkan bahawa Najib tidak memohon bagi penangguhan hukuman dan bebas berbuat demikian pada masa hadapan.
Mahkamah ketika itu memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Difahamkan, permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion itu mempunyai kaitan dengan perintah tahanan rumah yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim, minggu lalu.
Pada 18 September lalu, Seri Paduka memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, media melaporkan, tiada tempoh atau had masa ditetapkan untuk bekas Perdana Menteri itu menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib memohon menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadapnya bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Hakim Collin turut menjatuhi hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.
Selain hukuman pemenjaraan dan denda, mahkamah turut memerintahkan Najib membayar jumlah boleh dipulihkan sebanyak RM2,081,476,926 di bawah Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Jika gagal membayar jumlah itu, beliau dikenakan hukuman penjara dua tahun enam bulan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu disabitkan melakukan kesalahan salah guna kedudukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















