KUALA LUMPUR – Seramai 10 warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi serbuan Ops Sapu di sebuah rumah di Taman Choo Kee, Kangar, awal pagi tadi.
Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis (JIM Perlis) selepas risikan dan pemantauan selama kira-kira sebulan.
JIM Perlis dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu merupakan hasil risikan, pemantauan serta pengumpulan maklumat secara berterusan terhadap premis berkenaan yang disyaki menjalankan aktiviti mencurigakan.
Ketika pemeriksaan dijalankan, katanya, beberapa penghuni dipercayai cuba melarikan diri dan bersembunyi di sekitar rumah bagi mengelakkan pemeriksaan.
Bagaimanapun, ujarnya, kesemua mereka berjaya dikesan dan ditahan.
“Hasil pemeriksaan serta penemuan beberapa peralatan di lokasi mendapati mereka disyaki terlibat dalam aktiviti dalam talian berunsurkan perjudian.
“Semakan sistem JIM mendapati, kesemua individu memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah, namun mereka disyaki menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan syarat pas berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi itu, JIM Perlis turut menyita 22 telefon bimbit, tujuh komputer riba dan 10 pasport Thailand bagi membantu siasatan.
JIM Perlis turut menegaskan pemilikan pas atau dokumen perjalanan yang masih sah tidak bermakna warga asing dibenarkan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang bercanggah dengan syarat pas diberikan.
Menurut jabatan itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan berasaskan risikan, pemantauan dan maklumat awam bagi memastikan undang-undang serta peraturan imigresen sentiasa dipatuhi. – MalaysiaGazette
















