MELAKA – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menghasut berhubung krisis adat Negeri Sembilan, Jun lalu.
Rais, 84, yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menyebut perkataan menghasut ketika berada di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira pukul 1 petang, 5 Jun lalu.
Kenyataan itu antaranya berbunyi “mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar ke-12, melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.
“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan”.
Sehubungan itu, Rais didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar mencadangkan jaminan sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin.
Rais yang diwakili barisan lima peguam diketuai anaknya sendiri, Danni Rais bagaimanapun memohon jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada mahkamah meskipun hanya dimaklumkan berkaitan pertuduhan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Raja Noor Adilla pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















