Logo MCMC

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan kes berkenaan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.

Dalam masa sama, katanya, MCMC akan terus memantau perkara itu dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Pengguna yang terjejas dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun,” katanya.

Sementara itu, MCMC menjelaskan, pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun ialah dua perkara yang berbeza.

Katanya, akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp, dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri Two-Step Verification serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.

Dalam masa sama, orang ramai  diingatkan supaya berhati-hati dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan meminta wang, maklumat peribadi atau kod pengesahan.

“Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial berkenaan rungutan orang ramai yang mendakwa akaun media sosial WhatsApp mereka disekat tanpa alasan munasabah, sekali gus menjejaskan pelbagai urusan berkaitan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here