PUTRAJAYA – Rakaman keterangan bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Isa Samad ditangguhkan sementara selepas beliau dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, rakaman keterangan Isa yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh akan disambung semula selepas kesihatannya mengizinkan.
Menurut beliau, proses rakaman keterangan itu penting bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
“Berhubung keterangan Isa, kita terpaksa ‘hold’ dahulu kerana sepatutnya ia (keterangan) diambil semalam dan hari ini tetapi memandangkan beliau tak sihat, dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata, maka kita tangguhkan dulu.
“Kita akan rakam semula percakapan beliau selepas mendapat maklumat (status kesihatan) daripada Jabatan Penjara.
“Apabila sudah sihat, maka kita akan sambung perakaman kenyataan itu. Banyak lagi nak dirakamkan daripada beliau,” katanya.
Abd Halim berkata, rakaman keterangan Isa bermula pada 17 September lalu dan diteruskan semalam sebelum ditangguhkan berikutan keadaan kesihatannya.
Sebelum ini, media melaporkan pegawai penyiasat SPRM merakam keterangan Isa di Penjara Sungai Buloh sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan FELDA dan FIC.
Pada 2 September lalu, Abd Halim dilaporkan berkata, seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan kes Felda.
Susulan itu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali sebagai Op Fella.
Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim mengesahkan dua individu yang disiasat dalam penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) berkaitan FELDA akan dituduh minggu hadapan.
Dua individu itu ialah bekas pengurus besar Felda dan bekas ketua pegawai eksekutif Felda Investment Committee (FIC).
“Bagi bekas pengurus besar Felda akan menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan pertuduhan itu akan didaftarkan di mahkamah pada tarikh 30 September ini.
“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Committee pula akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 417, dengan pertuduhan itu akan berlangsung pada tarikh 29 September,” katanya.
SPRM minggu lalu mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pengurusan kanan Felda berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan KLVC. – MalaysiaGazette
















