Setiasausaha Politik Kementerian Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof bergambar bersama pada acara Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam. Foto AIMAN RIZAL, 26 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Masyarakat disaran memberi ruang kepada komuniti cacat pendengaran untuk mempamerkan bakat, kepakaran dan sumbangan mereka dengan lebih dekat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata, mereka perlu diberi peluang untuk mendapat akses kepada pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan bagi membantu golongan itu meningkatkan taraf hidup.

“Golongan pekak perlu diberi ruang mendapat akses sepenuhnya supaya tidak merasa tersisih kerana ketidakupayaan yang dialami,” ujarnya ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai merasmikan program itu.

Tema sambutan `Mengisytiharkan Hak Asasi Orang Pekak’ memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali komuniti pekak termasuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) untuk komunikasi lebih mudah.

Sebanyak 20 agensi terdiri daripada wakil kerajaan, penaja, pempamer, sukaralewan dan komuniti pekak terlibat dalam sambutan tersebut.

Pada majlis itu, pengunjung berpeluang mengenali usahawan pekak dan orang kurang upaya (OKU) dengan menyertai sesi perkongsian yang diadakan.

Setiasausaha Politik Kementerian Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof menerima cenderahati penghargaan sempena kehadirannya pada acara Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam. Foto AIMAN RIZAL, 26 SEPTEMBER 2026.

Sementara itu, Abdullah Izhar ketika ditemui wakil media berkata, program tersebut menghubungkan rakan-rakan strategik untuk berkongsi maklumat tertentu berkaitan golongan pekak.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai lagi agensi yang terlibat untuk membantu komuniti ini,” ujarnya.

Menurut Abdullah Izhar,  peringkat kementerian, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ditubuhkan di setiap negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyediakan akses digital yang adil kepada komuniti itu.

Ujarnya, beberapa modul telah disediakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan diharap kerjasama dapat dijalin dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan.

“Kerjasama itu penting bagi memperluas kempen keusahawanan digital dan latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI) khusus kepada golongan tersebut.

“Kita ada pelbagai bengkel latihan dan teknik untuk mewujudkan usahawan kurang upaya bertujuan membantu memasarkan produk mereka,” ujarnya.

Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Norhisham Aluwi bercakap menggunakan bahasa isyarat pada sidang media selepas acara Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam. Foto AIMAN RIZAL, 26 SEPTEMBER 2026.

Sementara itu, Presiden MFD, Norhisham Aluwi berkata, program hari ini diharap dapat membuka mata masyarakat umum berhubung hak dan keperluan golongan itu.

Ujarnya, komuniti tersebut tidak hanya mahu bergantung dengan bantuan kerajaan semata-mata dan mampu menyumbang yang terbaik untuk pembangunan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here